Wednesday, 10 May 2017

Kebahagiaan!



"Bila kali terakhir hati kau benar-benar merasakan maksud kebahagiaan?"

Aku termenung ketika menghayati bait-bait soalan ini. Halus dan terkesan. Tersentak dan perlahan-lahan aku melabuhkan punggung dan cuba duduk dimana-mana. Jawapan yang ingin aku lontarkan ada, tetapi tidak mampu mengarang ayat ketika itu. Air liur bagaikan tersangkut dihujung rongga nafas. Berpasir dan perit. Banyak kali aku cuba menghadam soalan yang nyata sebenarnya sangat mudah dipendengaran orang lain. Tetapi bagi aku, seperti kehabisan kata. Persoalan itu tetap berpusing pada satu paksi. Hatiku kembali tepu.

Aku memiliki kehidupan yang sederhana. Tidak begitu sukar dan mencukupi. Duit? Walaupun tidaklah begitu kaya, tapi aku mampu membeli apa yang aku inginkan. Pekerjaan? Aku gembira dengan apa yang aku kerjakan pada hari ini. Tapi mengapa aku masih merasakan ada satu-satu bahagian dalam diri ini yang terasa begitu kosong?

Aku melanjutkan persoalan ini pada seorang gadis buta yang zahirnya kelihatan biasa-bisa. Bagaimana kita mampu merasakan yang kita sebenarnya orang yang sedang berbahagia atau cuba mengecap bahagia?

"Apa yang kau faham tentang bahagia?"

Hmm. Tuhan berkehendak tentang kehidupan kita yang laluannya mungkin berbeza dengan orang lain. Cerita kau begini, dan cerita dia begitu. Sedangkan kisah aku pula begini. Mengikut definasi aku, bahagia dizahirkan bila kita mampu merasakan keapungan dan bunga-bungaan di dalam hati. Hati kita tenang dan lapang. Tiada permasalahan yang menghambat kita disuatu sudut perasaan yang nyata menyesakkan akal. Tidak ada perkara yang membimbingkan dan kita mampu mengukir senyuman 24 jam. Benarkah begitu?

Kali ini gadis buta itu tersenyum. Sukar sekali aku meneka apa yang terlintas difikirannya ketika itu.

Menurut aku, bahagia itu mudah. Walaupun hidup kita ditimpa dengan pelbagai ujian dan permasalahan, hati kita tetap berbalik pada jalan yang sama. Hal-hal remeh tentang keduniaan itu tidak memberikan kesan berat pada jiwa. Kenapa? Sebab kita sedar akan hakikat kejadian kita. Apa jua yang kita lakukan, bukan sekadar meraih bahagia. Tapi mengukir hala tuju yang lebih baik. Pengabdian diri pada satu-satunya Pencipta yang menciptakan segalanya.

"Eh. Apa pula perkaitan Tuhan dengan bahagia?"
"Bukankah permasalahan utama disini tentang bahagia?"

Sekali lagi gadis buta itu mengukir senyuman. Lebih manis daripada seketika tadi.

Mampukah ke kita merasakan manisnya sebiji epal hanya dengan tenungan mata? Kalau kita tak kopek kulitnya, tak mungkin kita merasakan manisnya  epal itu yang diumpamakan seperti madu kan? Samalah terjemahannya dalam maksud bahagia. Hati kita takkan merasakan tenang dan bahagia tanpa tahu maksud sebenar bahagia. Kita kena berusaha mengukir bahagia, barulah hasilnya tidak mengecewakan. Bagi aku, kita kenal Tuhan, fahami halatuju kita. Barulah pentafsiran bahagia itu jelas. Ada orang merasa bahagia bila membahagiakan hati orang tua. Ada orang lain pula, dia mengecapi bahagia bila orang yang lain turut sama merasakan apa yang dia rasakan. Memberi tanpa pernah rasa jemu.

"Memang definasi bahagia itu berbeza!"

Apa yang jelas, aku rasa bahagia tanpa perlu melukakan orang lain. Tidak mengepung nikmat bahagia itu sendirian. Sedangkan orang disekeliling kita menderita dalam luka lara. Sebarkan kebaikan daripada segala macam sudut yang menggembirakan. Bila kita ikhlas memberi, Tuhan pasti menggandakan bahagia. Jiwa kita tenang dan hati kita lapang.

"Ukirkan ingatan pada Tuhan seikhlasnya, bahagia?"

Kali ini, baru aku mampu mengukir senyuman.

"Tuhan akan mengirimkannya pada alamat yang jelas!"

No comments:

Post a Comment

Please do some thinking before write anything. God always know who we are and what are we doing 😄😄😄

The Legend - Liana Afiera Malik (L.A.M)

Assalamualaikum dan salam sejahtera. *** Salam Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menunaikan ibadah puasa sempena bulan Ramadhan yang ...